loading...
Senani melihat lembaga wanita berjubah labuh dan berambut panjang mengurai bergayut pada papan tanda elektronik ini menyebabkan kenderaan yang dipandu nyaris terbabas.
Pengakuan mangsa kemalangan tentang 'LPT2 berhantu
Pengakuan mangsa kemalangan tentang 'LPT2 berhantu
PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan makhluk halus di laluan itu.
Umum mengetahui LPT2 dicop sebagai ‘lebuh raya berhantu’ rentetan kes kemalangan maut yang berterusan berlaku di laluan sepanjang 184 kilometer itu sejak dibuka sehingga sekarang.
Jolokan itu diberi orang ramai kerana bagi segelintir mereka kemalangan meragut nyawa yang berlaku itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor yang boleh dilihat dengan mata kasar sahaja sebaliknya ia turut berkait dengan gangguan makhluk ghaib.
Perihal LPT2 yang kononnya ‘keras’ dan punya ‘penunggu’ juga turut rancak diperkatakan di media sosial terutama di Facebook, malah ada netizen yang tampil menceritakan kisah seram yang pernah dialami untuk peringatan pengguna LPT2 yang biasa menggunakan laluan itu dan perkongsian kisah seram itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Bagi mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan, Sinar Harian mengupas isu tersebut dan berjumpa dengan mangsa kemalangan dan pengguna LPT2 yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Rata-rata mereka tidak menolak kemungkinan kemalangan turut dipengaruhi faktor gangguan makhluk halus berdasarkan pengalaman seram yang pernah dilalui.
Nampak langsuir bergayut pada papan tanda elektronik
Isteri peneroka Felda Neram 2 Kemaman, Senani Omar, 53, berkata, kereta yang dinaikinya sekeluarga nyaris terbabas selepas anak lelakinya yang memandu terkejut melihat lembaga perempuan berbaju putih labuh dan berambut panjang sedang bergayut pada papan tanda elektronik atau VMS.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 pada awal September lalu semasa mereka empat beranak dalam perjalanan balik dari Kuantan ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru.
“Waktu itu makcik duduk di tempat duduk penumpang depan. Tapi semasa tiba di kawasan Plaza Tol Jabor, makcik bersama menantu dan seorang lagi anak yang duduk di belakang tertidur.
“Hanya beberapa ratus meter untuk sampai di depan R&R Perasing, anak makcik, Wan Shahdillah Wan Abdullah, 28, yang memandu itu tiba-tiba nampak langsuir sedang tergantung pada VMS hingga dia terperanjat dan kereta Proton Wira kami hampir terbabas ke kanan jalan. Ketika itu, VMS itu gelap dan tak ada tulisan cerah seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan panik berkenaan mereka bernasib baik kerana laluan itu lengang dan anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori sawit sempat mengawal stereng dan berhenti seketika di lorong kecemasan.
“Nasib baiklah hanya selang beberapa saat lepas nampak langsuir itu ada bas ekspres yang lalu jadi anak makcik terus memandu dengan mengekori belakang bas hingga tiba ke susur keluar Plaza Tol Cheneh,” katanya.
Namun, ibu sembilan anak itu berkata, anak keempatnya itu tidak menceritakan kejadian itu kepadanya sebaik dia tersedar dari tidur apabila sudah tiba di rumah kira-kira jam 11.30 malam.
“Dia cuma cerita pagi esoknya dan hari itu juga dia ambil cuti kecemasan," katanya.
Terlihat wanita berjubah putih
Kelibat wanita berjubah putih labuh dengan rambut panjang mengurai turut dilihat seorang pekerja kilang sawit, Mohd Muradzi Mohd Nawi, 20, kira-kira tiga jam selepas berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua beranak yang juga jiran hadapan rumahnya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 malam pada 17 Oktober lalu di Kilometer 273.9 susur keluar ke Plaza Tol Cheneh itu, seorang peneroka Felda Neram 2, Hasan Abd Wahab, 53, dan anak sulungnya, Hanis Shazwani, 21, terbunuh sementara
isteri dan anak bongsunya cedera.
Mohd Muradzi berkata, sejurus mendapat khabar mengenai kemalangan yang menimpa jirannya itu, dia bersama abangnya, Mohd Mutalib, 33, segera bergegas ke Hospital Kemaman di Chukai untuk menziarahi.
“Kami balik ke rumah ikut LPT2, namun di separuh jalan saya nampak satu lembaga wanita yang pakai baju putih labuh dan rambut panjang duduk di atas pengadang jalan di jejambat Lubuk Batu, iaitu lebih kurang lapan kilometer sebelum tempat arwah Pok Hasan kemalangan.
“Tapi muka lembaga itu saya tak nampak sebab gelap. Menggeletar badan saya masa itu dan waktu kami lalu di bawahnya ayat-ayat suci al- Quran tak putus-putus saya baca dalam hati. Waktu itu saya sempat toleh ke arah jam dan jarum tunjukkan pukul 3 pagi,” katanya.
Setelah tiba di rumah, Mohd Muradzi yang bekerja di Bukit Bandi, Cerul pelik kerana abangnya yang memandu kenderaan mengakui tidak nampak apa-apa sepanjang perjalanan pulang mereka ke rumah.
“Sebelum ini saya cuma dengar cerita orang saja pasal macam-macam kisah mistik sepanjang LPT2 ini. Tapi lepas lihat sendiri, tak tahu nak cerita macam mana perasaan waktu itu,” katanya.
Menurutnya, dari pelbagai versi cerita yang pernah didengarnya terdapat satu kisah yang paling diingatnya iaitu kisah rakannya sendiri yang bekerja sebagai pemandu lori dan pernah terserempak dengan seorang warga emas lelaki berkopiah yang berjalan kaki dan menahan lori yang dipandu pada jam 2 pagi di hadapan R&R Perasing.
Sebaik sahaja ditahan, rakan Mohd Muradzi memberhentikan kenderaan dan bertanya mengenai arah tuju pakcik lewat usia itu.
“Pakcik itu jawab ‘mahu ke depan tu sikit’. Tapi dia bukan mahu tumpang kawan saya sebaliknya dia pesan pada kawan saya supaya hati-hati. Dia bagitahu jalan di Perasing itu tak elok sebab ada kisah-kisah lama. Katanya di kawasan itu adanya kubur-kubur lama.
“Saya juga pernah dengar yang kawasan Lembah Perasing di kawasan ini adalah perkuburan besar komunis puluhan tahun lalu dan dalam banyakbanyak lokasi di sepanjang LPT2 ini difahamkan kawasan Perasinglah paling ‘keras’,” katanya.
Mangsa terselamat trauma
Sementara itu, mangsa kemalangan yang terselamat, Salimah Ghalam, 51, yang juga ibu kepada tiga anak mengakui terkejut apabila mendengar kisah jirannya melihat lembaga wanita berambut panjang selepas tiga jam mereka empat beranak kemalangan.
“Muradzi ceritakan kepada saya apa yang dia nampak itu lepas seminggu kami kemalangan. Dia cerita pada saya dekat waktu senja semasa saya sedang termenung di depan rumah.
“Saya pun tidak tahu apa yang arwah suami nampak waktu kami kemalangan. Saya yang duduk sebelah suami tak tidur pun waktu kami kemalangan dan seingat saya secara tiba-tiba kereta terbabas langgar pembahagi jalan sebelum saya pengsan sekejap,” katanya.
Ketika kejadian, Salimah bersama arwah suami dan arwah anak sulungnya serta anak bongsu, Hanis Shazhizatul, 14, dalam perjalanan balik dari Kampung Ibok, Kijal kerana menziarahi adiknya yang tercedera akibat terkena letupan belon gas.
Hanya anak keduanya, Hanis Shazhirah, 19, yang tidak terlibat dalam nahas itu kerana anak perempuannya itu tidak tinggal di rumah disebabkan belajar di Kolej Islam Pahang (Kipsas).
“Saya tak pernah lalu LPT2 sebelum ini tapi mungkin arwah suami dah banyak kali lalu. Sampai sekarang saya masih trauma dan tak mahu lagi lalu jalan itu. Sebagai mangsa, saya tak tolak kemungkinan faktor mistik turut jadi penyebab kemalangan kerana dalam al-Quran sendiri pun sudah dinyatakan ada makhluk lain dicipta selain manusia,” katanya.
Rasa mengantuk ketika lalui tempat ‘keras’
Pemilik pusat rawatan alternatif, Laila Husin, 56, mengakui banyak kali dia hampir terbabas setiap kali melalui ‘lokasi keras’ di LPT2 sekitar Kemaman berikutan rasa mengantuk yang teramat sangat ketika melalui laluan itu.
“Apa yang saya perasan, ada tiga tempat yang tiba-tiba kepala saya rasa hanyut dan datang rasa mengantuk yang teramat sangat setiap kali melalui LPT2,” katanya.
Menurutnya, lokasi itu ialah sekitar R&R Perasing yang menjadi lokasi enam beranak maut dalam kejadian 14 Oktober lalu, di Cheneh (lokasi kemalangan melibatkan bekas Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam) dan sebelum
Plaza Tol Kijal.
Katanya, rasa hanyut dan mengantuk itu dirasainya pada ketika melalui lebuh raya itu pada waktu siang dan bukan pada waktu malam.
“Yang saya pelik, saya bukannya tak cukup tidur pun. Setiap kali lalui ikut LPT2 mesti saya mengantuk ketika lalu tiga lokasi itu. Kaki saya yang tekan pedal minyak seolah-olah tak rasa apa-apa. Kadang-kadang saya terlelap beberapa saat, sebab itu saya hampir hilang kawalan banyak kali.
“Dalam keadaan begini apa yang penting kita kena basahkan mulut dengan bacaan ayat suci al-Quran dan zikir, malah sebelum mulakan perjalanan juga perlu amalkan baca doa agar sentiasa dilindungi. Dari pengalaman yang saya lalui ini saya percaya adanya gangguan makhluk ghaib tapi ajal maut semuanya di tangan ALLAH SWT,” katanya.
loading...
0 Response to "( VIRAL ) " Di separuh jalan saya nampak satu Lembaga Wanita yang pakai Baju Putih labuh dan Rambut Panjang duduk di atas pengadang jalan. Tapi muka lembaga itu saya tak nampak sebab gelap. Menggeletar badan saya masa tu.. " -- Pengakuan mangsa kemalangan tentang LPT2 berhantu"
Post a Comment